Kedah cipta sejarah dinobat juara Ragbi Piala Agong

Diambil daripada: http://www.bharian.com.my
Oleh Mohd Ali Majid

KEDAH mencatat sejarah apabila muncul juara Kejohanan Ragbi Piala Agong edisi ke-26 selepas menewaskan Tentera di Stadium Sultan Abd Halim, Alor Setar, Kedah, semalam.

Fairuz Abd Rahman menjadi wira Kedah dengan memastikan mata kemenangan menerusi penalti pada minit terakhir perlawanan selepas aksi bertenaga ditampilkan kedua-dua pasukan.

Ketika itu Tentera mendahului Kedah 22-23 sebelum Fairuz menjelmakan penalti pada minit-minit terakhir.

Dia yang juga pemain kebangsaan dan dipilih Pemain Terbaik Kejohanan tidak melepaskan peluang keemasan itu untuk meletakkan Kedah sebagai negeri pertama di utara semenanjung memenangi kejohanan berprestij itu.

Sebelum itu, dalam perlawanan penentuan plate, Polis Diraja Malaysia mengalahkan Negeri Sembilan 11-0.

Jurulatih Tentera, Khusaini Ishak bagaimanapun tidak kecewa dengan kekalahan dialami pasukannya, sebaliknya mengucapkan tahniah kepada Kedah kerana memberi saingan sengit hingga wisel penamat.

“Pencapaian hingga berjaya ke final tanpa pemain import kali ini membuktikan Tentera sememangnya memiliki kemampuan, berbanding tahun lalu apabila kami terkandas di suku akhir,” katanya.

Jurulatih Kedah, Farid Abd Rahman pula gembira kerana pemain menunjukkan persembahan tinggi dalam aksi final itu dan berhabis-habisan untuk melakar sejarah dalam kejohanan itu.


« Back To Main

 

Belia Benci Dadah    Putra University of Malaysia    International Rugby Board    National Sports Council    National Fitness Council